10 Panduan Menulis Resume Pertama Hebat Untuk Graduan Baru

10 Panduan Menulis Resume Pertama Hebat Untuk Graduan Baru
Jobstreet content teamupdated on 29 November, 2021
Share

Sebagai graduan baru lepasan ijazah, anda pasti inginkan pekerjaan untuk memulakan kerjaya yang diingini. Penulisan resume adalah penting dalam proses mencari pekerjaan ini. Namun, anda mungkin tidak pasti maklumat apa yang patut dikongsikan. Kami faham perasaan anda. Memang sukar untuk memilih tips mana yang harus digunakan dan diabaikan. Setiap perincian maklumat adalah penting untuk memberi kesan positif kepada bakal majikan.

Untuk mengurangkan kekeliruan dan membantu anda lebih memahami proses menulis resume, kami berkongsi dengan anda 10 tips asas tetapi hebat yang boleh anda gunakan sebagai panduan menulis resume pertama anda.

1. Guna bahasa yang mudah

Jauhi perkataan yang rumit ataujargonkecuali jika perlu. Bakal majikan sebenarnya lebih cenderung untuk membaca keseluruhan resume pertama anda jika ia mudah dibaca. Jika anda menulis resume yang dibanjiri dengan perkataan bombastik, ia mungkin akan kelihatan jelik.

Pakar HR yang merupakan orang pertama yang akan membaca resume anda bukannya seorang yang mempunyai pengalaman teknikal. Mereka mungkin faham apa yang diperlukan untuk setiap jawatan teknikal tetapi mereka bukannya pakar dalam bidang tersebut. Jadi, lebih baik jika bahasa yang anda sebagai graduan baru gunakan untuk menulis resume adalah mudah dibaca. Ini adalah untuk memastikan bahawa resume pertama anda tersebut bakal disenarai pendek.

2. Pastikan pengalaman relevan

Biasanya seorang graduan baru mungkin tidak mempunyai banyak pengalaman relevan untuk sesuatu jawatan. Jadi, satu panduan menulis resume secara lengkap adalah dengan mengisi maklumat tentang aktiviti kokurikulum, kerja-kerja sukarela, atauinternshipyang anda pernah lakukan. Ini adalah untuk menunjukkan kemahiran anda sebagai graduan baru dari segi komunikasi dan kepimpinan. Walaupun jenis pengalaman tidak begitu relevan dengan pekerjaan yang ingin dipohon, yang penting anda menunjukkan kemahiran sedia ada yang bakal digunakan dalam pekerjaan tersebut. Inilah tips menulis resume untuk disesuaikan dengan kerja yang dipohon.

3. Tunjukkan personaliti anda

Selain daripada menyesuaikan resume berdasarkan kerja yang anda pohon, anda juga boleh menampilkan personaliti anda untuk menjadikan resume anda lebih menarik. Bakal majikan akan membaca banyak resume. Jadi, untuk memastikan resume pertama anda menonjol, jangan segan untuk menunjukkan peribadi atau personaliti unik anda.

Anda boleh lihat contoh ringkasan resume yang diperibadikan sebagai inspirasi untuk menulis resume pertama anda sebagai graduan baru.

4. Ringkas dan tepat

Ada yang berpendapat bahawa lebih banyak maklumat yang diisikan ke dalam resume anda, lebih hebat resume anda. Percayalah, dalam keadaan ini, maklumat yang sedikit tetapi tepat adalah lebih sesuai. Ini adalah salah satu situasi di mana kualiti lebih penting dari kuantiti.

Time melaporkan bahawa, "bakal majikan menghabiskan lebih kurang enam saat sahaja untuk mengimbas resume individu." Enam saat. Itu sahaja. Berapa banyak maklumat sahaja yang mampu dibaca dan difaham dalam masa enam saat itu? Namun begitu, bakal majikan masih akan cuba untuk mencari alasan untuk memberi peluang kedua pada resume anda. Sebab itulah maklumat relevan yang menonjolkan personaliti unik anda secara ringkas dan tepat adalah penting apabila menulis resume pertama anda.

5. Mulakan dengan persoalan ‘kenapa’

Soalan terpenting yang perlu dijawab oleh resume anda adalah, "Mengapakah anda paling layak untuk pekerjaan ini?".

Tugas resume anda adalah untuk menarik minat dan keinginan bakal majikan untuk bertemu dengan anda secara langsung. Oleh sebab itu, ringkasan resume di bahagian atas resume perlu ditulis untuk memberikan gambaran keseluruhan yang jelas dan menarik. Ia harus menceritakan persoalan "kenapa" anda dalam beberapa ayat yang ringkas.

6. Penampilan adalah penting

Selain video lucu dan laman media sosial, terdapat juga laman atau apps yang memberi alat percuma untuk membantu kerjaya anda. Satu panduan menulis resume adalah untuk menggunakan templat resume percuma yang sedia ada dan berkualiti tinggi. Ya, anda boleh muat turun templat tersebut secara percuma. Sekarang ini, ramai orang termasuk graduan baru menggunakan laman web Canva untuk mereka cipta resume profesional dengan mudah.

Dengan tersedianya alat atas talian yang hebat ini, anda tidak boleh lagi memberi alasan munasabah kenapa resume anda kelihatan ketinggalan zaman.

7. Gunakan kemudahan digital

Dalam zaman teknologi ini, anda perlu menunjukkan kepada bakal majikan bahawa anda cerdik teknologi. Sebagai permulaan, anda boleh muat turun dan simpan resume anda sebagai fail PDF dan gunakan hiperpautan sebagai rujukan langsung. Dengan cara ini, resume anda lebih mudah diakses.

Selain itu, anda juga boleh menyediakan portfolio dalam talian dalam bentuk laman web atau blog jika relevan dengan jenis profesion anda. Ini pasti akan menjadikan anda seorang calon yang unik dan lain daripada yang lain. Satu lagi panduan adalah untuk memuat naik resume dan portfolio kepada perkhidmatan percuma seperti Google Drive atau Dropbox. Maklumat anda akan menjadi lebih selamat dan boleh diakses dengan mudah.

8. Serlahkan pencapaian tertentu

Pastikan apa yang anda tulis dalam resume adalah spesifik. Elakkan kenyataan dan frasa yang tidak jelas seperti "kemahiran komunikasi yang baik" atau "berdasarkan hasil". Huraikan senario tertentu di mana anda telah menggunakan kemahiran anda dan hasil yang telah dicapai (jika berkaitan). Contohnya, "Menghabiskan 6 bulan mengajar Bahasa Inggeris kepada anak-anak yang kurang bernasib baik di Phnom Penh, Kemboja, dengan fokus pada kemahiran perbualan dan sosial mereka."

9. Gunakan alat penyunting percuma

Sebelum menghantar resume anda kepada bakal majikan, pastikan anda baca semula dan menyunting mana-mana bahagian yang kurang memuaskan. Jadikan ia sebagai amalan biasa. Salah satu tips adalah untuk menggunakan pemeriksa ejaan seperti Grammarly sebagai langkah penyunting asas apabila melaksanakan apa-apa penulisan. Jadi, setelah anda menulis resume pertama mahupun kedua, pastikan anda memeriksa ejaan dan tatabahasa. Ini adalah untuk memudahkan pembacaan oleh bakal majikan dan menunjukkan tahap profesionalisme anda.

10. Letakkan diri di tempat pembaca

Akhir sekali dan yang paling penting adalah pastikan anda sentiasa letakkan diri di tempat pembaca. Ini memerlukan kemampuan anda untuk menjadi objektif dan tidak berat sebelah apabila membaca resume buat kali terakhir. Ini mungkin sedikit mencabar tetapi anda perlu cuba untuk membaca resume anda dari perspektif pembaca. Tujuannya adalah untuk memastikan mesej yang anda ingin sampaikan dalam resume anda adalah jelas.

Sekiranya anda rasa susah untuk membaca dengan objektif, anda boleh dapatkan beberapa rakan untuk menyemak dan mengkritik resume anda. Resume anda perlu menarik perhatian bakal majikan, bukannya membosankan mereka. Jadi, jika anda boleh menarik perhatian rakan anda, kemungkinan besar anda juga boleh menarik perhatian bakal majikan.

Untuk memberi sedikit perspektif kepada panduan menulis resume di atas, berikut adalah beberapa contoh resume yang kami telah sediakan menggunakan Canva untuk rujukan dan inspirasi anda. Anda juga boleh pergi ke laman web untuk menyesuaikannya resume tersebut sendiri:

Praktikkan Panduan Ini Untuk Menulis Resume Anda

Kami telahpun memberi 10 panduan menulis resume yang lengkap untuk anda memulakan penulisan resume anda. Ingat, serlahkan personaliti unik anda serta pencapaian atau pengalaman relevan untuk penampilan pertama yang positif.

Tahukah anda bahawa anda boleh muat turun profil Jobstreet anda untuk dijadikan sebagai resume? Sekarang anda boleh menggunakan kemahiran menulis resume apabila melengkapkan profil anda untuk memohon pekerjaan yang anda ingini. Anda juga boleh hantar profil tersebut secara langsung kepada bakal majikan. Yang penting anda jadikan profil atau resume anda lebih menarik untuk menangkap perhatian bakal majikan.

Adakah anda sudah mempunyai akaun dengan kami? Jangan lupa untuk mengemas kini profil anda dan membolehkan peluang pekerjaan datang kepada anda.

Selamat menulis resume!

More from this category: Resumes

Top search terms

Want to know what people are searching for on Jobstreet? Explore our top search terms to stay across industry trends.

Explore related topics

Choose an area of interest to browse related careers.

Subscribe to Career Advice

Get expert career advice delivered to your inbox.
You can cancel emails at any time. By clicking ‘subscribe’ you agree to Jobstreet’s Privacy Statement.