Cara Tulis Resume Walaupun Kekurangan Pengalaman Kerja

Cara Tulis Resume Walaupun Kekurangan Pengalaman Kerja
Jobstreet content teamupdated on 05 October, 2021
Share

Kekurangan pengalaman kerja yang relevan adalah masalah yang sangat biasa di kalangan mereka yang baru pertama kali nak bekerja, terutamanya mereka yang baru tamat pengajian. Mungkin anda fikir bahawa kekurangan pengalaman kerja sangat merugikan dan anda rasa tak layak untuk menulis resume dan memohon pekerjaan yang hanya inginkan individu berpengalaman.

Tetapi, sebenarnya kekurangan pengalaman kerja bukanlah sesuatu yang memudaratkan. Setiap orang akan mengalami saat pertama ini. Malah, ramai yang telahpun berjaya memulakan zaman pekerjaan mereka tanpa mengenali selok belok kerja dunia profesional sepenuhnya.

Kekurangan pengalaman kerja tidak sepatutnya menjadi halangan ketika mencari pekerjaan. Lagipun, banyak syarikat faham bahawa akan terdapat pekerja yang kurang pengalaman kerja ketika mengambil kakitangan baru.

Asas resume

Resume pertama anda mestilah dibina berdasarkan asas yang kuat. Ini bermaksud maklumat penting di dalam resume tersebut perlu tepat.

Pastikan anda memberikan maklumat hubungan anda yang lengkap dan terkini serta senarai latar belakang pendidikan apabila menulis resume anda. Jangan lupa juga untuk menyenaraikan kemahiran yang paling relevan dari segi kemahiran insani mahupun teknikal.

Walau bagaimanapun, pastikan anda berhati-hati dan jangan tulis maklumat yang berlebihan. Sebilangan calon cenderung menulis resume mereka dengan keterangan yang tidak penting. Bakal majikan anda tidak berminat untuk tahu tarikh hari lahir, ketinggian dan berat badan anda, atau maklumat sekolah rendah anda.

Ramai calon tidak peka pada kepentingan maklumat asas, malahan tidak berusaha untuk memperbaikinya. Oleh sebab itu, anda perlu mengambil masa untuk menulis maklumat asas dan membina kerangka resume anda. Kemudian, barulah anda boleh fokus kepada penyerlahan peribadi unik anda.

Sinopsis dua ayat

Beberapa tahun yang lalu, calon pekerjaan dinasihatkan untuk merangkumi bahagian yang dinamakan 'Objektif Kerjaya' pada permulaan resume. Bahagian ini pada waktu tersebut dianggap penting kerana ia menyatakan niat calon untuk memohon sesuatu pekerjaan.

Namun, amalan ini tidak lagi dilaksanakan sebab ramai penulis resume profesional menganggapnya sesuatu yang berlebihan. Jadi, bahagian ini telahpun digantikan dengan bahagian ‘Ringkasan Resume’.

Ringkasan resume adalah pernyataan dua hingga tiga ayat yang menampilkan kualiti profesional paling kritikal dan relevan. Tujuannya adalah untuk menyerlahkan anda sebagai calon terbaik untuk pekerjaan itu. Sekiranya calon adalah produk dan resume adalah brosur pemasaran, maka ringkasan resume adalah penyataan jenama peribadi anda.

Sebelum ini, ringkasan resume (juga disebut sebagai ringkasan profil) hanya dimasukkan ke dalam resume ahli profesional yang berpengalaman. Kini, ringkasan resume juga digunakan dalam kalangan mereka yang baru tamat pengajian. Walaupun kekurangan pengalaman kerja, ringkasan resume adalah cara yang bagus untuk menarik perhatian bakal majikan dan menunjukkan diri anda sebagai calon yang sesuai untuk pekerjaan itu.

Pengalaman pra-profesional

Latihan praktikal, pekerjaan sambilan, pekerjaan sukarela dan peluang kepemimpinan. Jangan salah anggap bahawa ini bukan pengalaman kerja.

Pengalaman kerja ‘pra-profesional’ anda boleh disenaraikan di dalam bahagian ‘Pengalaman Kerja yang relevan’ resume anda. Ia adalah faktor penting untuk menentukan kesesuaian anda untuk pekerjaan yang ingin dipohon. Syarikat yang menawarkan jawatan peringkat permulaan tidak semestinya mencari pengalaman bekerja yang sebenar tetapi pekerjaan latihan praktikal atau pekerjaan sambilan yang anda miliki. Sebarang kerja sukarela yang anda lakukan juga dapat membantu meningkatkan peluang anda mendapatkan pekerjaan. Yakinlah, pengalaman pra-profesional tersebut memang cukup relevan untuk bakal majikan.

Semasa menulis pengalaman kerja yang relevan, pastikan anda menyenaraikannya mengikut susunan kronologi. Paling penting, nyatakan pengalaman kerja tersebut (pangkat atau jawatan) serta organisasi tempat anda bekerja dan tarikh atau tempohnya. Anda juga boleh menambah satu atau dua baris yang memperincikan tugasan yang telah dilakukan.

Pengalaman kerja yang relevan yang anda sertakan dalam resume anda bersama dengan senarai kemahiran insani dan teknikal akan memberi gambaran kesesuaian yang lebih baik kepada bakal majikan. Oleh itu, cubalah sedaya upaya untuk mengingati dan menyatakan pengalaman masa lalu di dalam resume anda walaupun ianya semasa anda dibangku sekolah.

Menggabungkan segalanya

Kadang-kadang aspek yang paling mencabar dalam penulisan resume pertama adalah penggabungan semua maklumat.

Mengisi butiran asas anda, membuat ringkasan resume yang kukuh dan menyenaraikan pengalaman kerja yang berkaitan mungkin mudah sebab perkara tersebut adalah berdasarkan fakta. Tetapi titik penentuan sama ada anda berjaya menghasilkan resume atau tidak adalah memastikan bahawa semua maklumat yang disenaraikan mempunyai kesinambungan.

Setiap resume perlu mempunyai jalan cerita. Kisah resume anda sangat bergantung pada kemahiran anda, pengalaman yang anda miliki dan juga pekerjaan yang dipohon. Walaupun dengan kekurangan pengalaman kerja yang ketara, anda harus memanfaatkan semua kelayakan yang anda miliki tidak kira berapa sedikit untuk membina sebuah naratif.

Sebagai seorang yang baru di dunia kerja profesional, anda tidak perlu membuat cerita seperti anda adalah seorang adiwira penyelamat dunia.

Tulis naratif ringkas. Siapakah anda sebenarnya? Apa yang telah anda lakukan? Apa hala tuju anda? Bagaimana anda merancang untuk sampai ke sana?

Walaupun tidak mempunyai banyak pengalaman, anda semestinya mempunyai potensi yang tidak terbatas dan ingin mencabar diri serta mencuba nasib dalam bidang yang baru atau tidak dikenali.

Akhir kata

Resume anda akan menjadi lebih bermakna jika anda menyusun resume untuk menyerlahkan kisah anda. Ingat, bakal majikan hanya mempunyai beberapa saat untuk membaca resume anda. Hubungkait inilah yang akan meyakinkan bakal majikan untuk membaca resume anda dengan lebih teliti.

Setelah selesai resume tersebut, anda bolehlah hantar permohonan kerja melalui email ataupun lebih mudah lagi anda boleh lengkapkan profil JobStreet anda yang akan menghasilkan resume secara automatik.

More from this category: Resumes

Top search terms

Want to know what people are searching for on Jobstreet? Explore our top search terms to stay across industry trends.

Explore related topics

Choose an area of interest to browse related careers.

Subscribe to Career Advice

Get expert career advice delivered to your inbox.
You can cancel emails at any time. By clicking ‘subscribe’ you agree to Jobstreet’s Privacy Statement.