4 contoh & panduan surat pertukaran tempat kerja

 4 contoh & panduan surat pertukaran tempat kerja
Jobstreet content teamupdated on 30 May, 2024
Share

Dalam kerjaya, kadang-kadang kita perlu berubah angin untuk mencari peluang baru. Jika anda sedang fikir untuk memohon berpindah tempat kerja dalam syarikat, artikel ini memang sesuai untuk anda. Kami akan kongsi beberapa contoh surat permohonan pertukaran yang boleh anda gunakan sebagai inspirasi.

Apakah itu surat pertukaran tempat kerja ?

Kebanyakan syarikat kini mempunyai beberapa buah cawangan di lokasi yang berbeza. Ini memberi kakitangan syarikat tersebut peluang untuk memohon perpindahan tempat kerja. Surat pertukaran tempat kerja adalah untuk memaklumkan majikan anda mengenai permintaan untuk beralih tempat kerja anda.

Walaupun anda hanya akan bekerja di cawangan atau jabatan yang lain, masih ada cara yang profesional untuk memohon pertukaran ini. Pertukaran tempat kerja boleh diminta atas pelbagai sebab yang berbeza.

Sebab – sebab permohonan pertukaran tempat kerja

man thinking about job options

Sebab atau alasan yang kukuh penting untuk dimaklumkan kepada majikan anda untuk mengelakkan sebarang perselisihan faham atau andaian bahawa permohonan pertukaran tempat kerja adalah berdasarkan ketidakpuasan hati.

Berikut ialah beberapa sebab pertukaran tempat kerja yang dapat membantu anda.

  1. Berpindah ke bandar yang lain
    ⁠Sebab ini berguna untuk mereka yang ingin berpindah rumah, berpindah untuk menyesuaikan diri dengan pekerjaan baharu atau pelajar yang pulang ke rumah semasa cuti universiti. Anda boleh ceritakan dalam permohonan tersebut tentang keputusan keluarga anda untuk pindah ke bandar lain. Ianya akan memudahkan majikan anda untuk memahami keperluan dan betapa pentingnya permohonan pertukaran tempat kerja anda.
  2. Ingin mengembangkan ilmu pengetahuan, pengalaman & kemahiran anda
    ⁠Pertukaran tempat kerja dapat menawarkan peluang dan cabaran yang baru untuk para kakitangan. Jika anda ingin menerokai pengalaman yang baru, anda digalakkan memaklumkan mengenai minat anda untuk mengembangkan skop pekerjaan anda. Sertakan bahawa anda bertujuan untuk mengembangkan ilmu pengetahuan dan set kemahiran anda untuk menjadi kakitangan yang lebih cemerlang.
  3. Memerlukan pendedahan yang baru untuk keseimbangan antara kehidupan dan kerjaya
    ⁠Tidak dapat dinafikan bahawa walaupun kerjaya merupakan elemen penting kehidupan, kesejahteraan hidup kesejahteraan hidup memainkan peranan yang lebih penting. Anda mungkin berada dalam titik kehidupan di mana anda memerlukan perubahan yang baru dan segar untuk kesejahteraan minda anda.

    ⁠Dengan memohon untuk menukar tempat bekerja, anda akan didedahkan kepada persekitaran yang lebih kondusif di mana ini dapat menjadikan diri anda lebih produktif dan kurangnya tekanan.
  4. Ingin meningkatkan peluang anda untuk kenaikan pangkat
    ⁠Jika anda telah berkhidmat di tempat kerja semasa untuk tempoh yang lama dan ingin menerokai peluang baru untuk kenaikan pangkat, sebab ini memang sesuai. Pertukaran tempat kerja dapat membantu anda memperoleh pengalaman yang lebih luas.

    ⁠Ini dapat membantu anda menjadi selangkah lebih dekat dengan kenaikan pangkat yang lama dikehendaki. Alasan ini kelihatan seperti mementingkan diri sendiri tetapi ia tidak semestinya salah untuk ingin menjawat jawatan yang lebih baik.

Peringatan penting sebelum menulis surat pertukaran tempat kerja yang profesional

  • Anda bukan tanya perkara yang salah, maka jangan malu bertanya
    ⁠Kebanyakan anda tergagap untuk meminta pertukaran tempat kerja kerana perasaan malu. Tetapi setiap kakitangan harus mengambil tahu hak anda untuk memohon pertukaran tempat kerja dengan memberi alasan yang munasabah. Maka, anda patut melihat keputusan ini dengan pandangan yang positif. Hal ini demikian kerana, majikan anda akan berasa bangga kerana anda tidak meletak jawatan tetapi ingin kekal dengan syarikat yang sama.
  • Kekalkan bahasa yang profesional
    ⁠Profesionalisme dan pendekatan yang beretika merupakan kunci untuk mendapatkan tanggapan yang baik terhadap anda. Oleh itu, penting untuk mengekalkan bahasa yang profesional sepanjang proses permohonan pertukaran tempat kerja ini. Sentiasa mengingati diri anda untuk tidak melakukan sebarang perkara yang dapat mencemarkan nama anda dalam syarikat tersebut. Dengan mengekalkan etika yang tinggi, proses permohonan ini akan dapat diselesaikan tanpa sebarang perselisihan faham.
  • Singkat, ringkas & berterus – terang
    ⁠Nyatakan motif surat anda secara berterus terang untuk mempercepatkan proses permohonan ini. Jika anda terlalu berputar belit, ia hanya akan merumitkan proses pertukaran tempat kerja anda. Ini juga mungkin akan mengelirukan majikan anda mengenai tujuan surat anda. Oleh itu, nyatakan alasan anda dengan singkat tetapi kukuh untuk kemudahan majikan anda.
  • Gunakan format yang betul
    ⁠Walaupun pertukaran tempat kerja ini berlaku dalam syarikat yang sama, surat yang rasmi adalah wajib. Surat rasmi ini merupakan dokumen penting yang harus direkodkan oleh pihak HR. Maka, surat ini harus dirangka mengikuti format yang betul serta mengandungi setiap elemen penting.

Cara menulis surat pertukaran tempat kerja

1. Kepala surat

  • Nama, alamat, nombor telefon & alamat e-mel (Pekerja)
  • Tarikh surat dikirim
  • Nama, alamat, gelaran jawatan (Majikan)
  • Nama & Alamat syarikat

2. Panggilan hormat penerima / Kata sapaan

  • Tuan / Puan

3. Tajuk surat

4. Isi kandungan

  • Sebut kedudukan, jabatan & jawatan semasa anda
  • Namakan cawangan/jabatan yang anda ingin sertai
  • Tarikh pertukaran tempat kerja yang dijangka
  • Sebab-sebab pertukaran tempat kerja
  • Penghargaan jasa majikan selama ini

5. Penutup

  • Ucapkan terima kasih untuk pertimbangan
  • Meminta maaf untuk kesulitan yang timbul

6. Pengakhiran surat

  • “Yang benar”
  • Tandatangan & nama penuh (Pekerja)

Contoh templat surat pertukaran tempat kerja

(Nama)
⁠(Alamat)
⁠(Nombor telefon)
⁠(Alamat e-mel)
⁠(Tarikh)

(Nama penerima)
⁠(Gelaran jawatan penerima)
⁠(Nama Syarikat)
⁠(Alamat Syarikat)

Tuan/Puan

PERMOHONAN PERTUKARAN TEMPAT KERJA

Dengan hormatnya saya merujuk kepada perkara di atas. Saya (Nama Penuh Anda) ingin mengemukakan minat saya dalam pertukaran tempat kerja. Saya ingin memohon pertukaran dari (Nama Cawangan/Jabatan Semasa) ke (Nama Cawangan/Jabatan Baru). Saya memohon agar pertukaran ini berkuat kuasa pada (Tarikh yang anda harapkan untuk pertukaran tempat kerja).

Permohonan ini adalah kerana (nyatakan alasan anda dengan kukuh dan beretika). Saya amat menghargai jasa tuan/puan selama saya berkhidmat di sini. Pengalaman dan kemahiran yang telah saya peroleh di sini amat berharga dan saya akan terus berusaha untuk menjadi kakitangan yang telus.

Sila hubungi saya di (nombor telefon anda) jika anda mempunyai sebarang pertanyaan. Saya amat menghargai masa dan pertimbangan anda. Saya juga berharap untuk mendengar daripada anda tidak lama lagi. Terima kasih untuk pertimbangan anda dan saya juga ingin minta maaf untuk segala kesulitan yang timbul.

Yang Benar,

(Nama penuh anda)

Contoh templat surat pertukaran tempat kerja kerana berpindah ke tempat lain

(Nama)
⁠(Alamat)
⁠(Nombor telefon)
⁠(Alamat e-mel)
⁠(Tarikh)

(Nama penerima)
⁠(Gelaran jawatan penerima)
⁠(Nama Syarikat)
⁠(Alamat Syarikat)

Tuan/Puan

PERMOHONAN PERTUKARAN TEMPAT KERJA

Dengan hormatnya saya merujuk kepada perkara di atas. Saya (Nama Penuh Anda) ingin mengemukakan minat saya dalam pertukaran tempat kerja. Saya ingin memohon pertukaran dari (Nama Cawangan/Jabatan Semasa) ke (Nama Cawangan/Jabatan Baru). Saya memohon agar pertukaran ini berkuat kuasa pada (Tarikh yang anda harapkan untuk pertukaran tempat kerja).

Permohonan ini adalah kerana saya akan berpindah rumah ke (nyatakan tempat). Lokasi cawangan ini lebih jauh daripada tempat baharu saya. Ini menyukarkan perjalanan saya ke pejabat setiap hari. Lokasi baharu yang saya memohon untuk ditukar kepada adalah lebih mudah diakses dari rumah saya. Peralihan ini amat penting bagi saya kerana keputusan untuk berpindah merupakan keputusan sekeluarga. Saya amat menghargai jasa tuan/puan selama saya berkhidmat di sini. Pengalaman dan kemahiran yang telah saya peroleh di sini amat berharga dan saya akan terus berusaha untuk menjadi kakitangan yang telus.

Sila hubungi saya di (nombor telefon anda) jika anda mempunyai sebarang pertanyaan. Saya amat menghargai masa dan pertimbangan anda. Saya juga berharap untuk mendengar daripada anda tidak lama lagi. Terima kasih untuk pertimbangan anda dan saya juga ingin minta maaf untuk segala kesulitan yang timbul.

Yang Benar,

(Nama penuh anda)

Contoh templat surat pertukaran tempat kerja untuk pengembangan ilmu, kemahiran & pengalaman

(Nama)
⁠(Alamat)
⁠(Nombor telefon)
⁠(Alamat e-mel)
⁠(Tarikh)

(Nama penerima)
⁠(Gelaran jawatan penerima)
⁠(Nama Syarikat)
⁠(Alamat syarikat)

Tuan/Puan

PERMOHONAN PERTUKARAN TEMPAT KERJA

Dengan hormatnya saya merujuk kepada perkara di atas. Saya (Nama Penuh Anda) ingin mengemukakan minat saya dalam pertukaran tempat kerja. Saya ingin memohon pertukaran dari (Nama Cawangan/Jabatan Semasa) ke (Nama Cawangan/Jabatan Baru). Saya memohon agar pertukaran ini berkuat kuasa pada (Tarikh yang anda harapkan untuk pertukaran tempat kerja).

Permohonan ini adalah berkenaan minat saya untuk mengembangkan ilmu pengetahuan, kemahiran dan pengalaman saya. Saya telah berkhidmat di cawangan ini sebagai (jawatan semasa anda) selama (tempoh masa). Saya berasa bahawa tiba masanya untuk saya meneroka peluang dan cabaran baharu. Saya berminat dengan (jawatan baharu di cawangan ABC). Maka saya bermohon untuk ditukarkan tempat bekerja ke cawangan tersebut dengan tujuan mengasah Kemahiran saya dan belajar lebih banyak dari syarikat ini. Saya amat menghargai jasa tuan/puan selama saya berkhidmat di sini. Pengalaman dan kemahiran yang telah saya peroleh di sini amat berharga dan saya akan terus berusaha untuk menjadi kakitangan yang telus.

Sila hubungi saya di [nombor telefon anda] jika anda mempunyai sebarang pertanyaan. Saya amat menghargai masa dan pertimbangan anda. Saya juga berharap untuk mendengar daripada anda tidak lama lagi. Terima kasih untuk pertimbangan anda dan saya juga ingin minta maaf untuk segala kesulitan yang timbul.

Yang Benar,

(Nama penuh anda)

Contoh templat surat pertukaran tempat kerja kerana mahu pendedahan baharu dan untuk keseimbangan antara kehidupan dan kerjaya

(Nama Anda)
⁠(Alamat Anda)
⁠(Nombor Telefon Anda)
⁠(Alamat E-mel Anda)
⁠(Tarikh)

(Nama Penerima)
⁠(Jawatan Penerima)
⁠(Nama Syarikat)
⁠(Alamat Syarikat)

Tuan/Puan

PERMOHONAN UNTUK PERTUKARAN TEMPAT KERJA

Dengan segala hormatnya saya merujuk kepada perkara di atas. Saya, (Nama Penuh Anda), dengan ini ingin mengajukan permohonan untuk bertukar dari (Cawangan/Jabatan Semasa) ke (Cawangan/Jabatan yang Diinginkan).

Permohonan ini dibuat atas dasar keperluan untuk mencari keseimbangan yang lebih baik antara kehidupan peribadi dan tanggungjawab kerjaya. Berdasarkan penelitian saya, saya percaya bahawa (Cawangan/Jabatan yang Diinginkan) akan menawarkan peluang baru dan persekitaran yang lebih kondusif untuk pertumbuhan profesional dan peribadi saya.

Saya telah berkhidmat di (Cawangan/Jabatan Semasa) selama (Tempoh Kerja) dan telah mendapat banyak pengalaman serta ilmu yang bermanfaat. Namun, saya merasa perlu untuk mengeksplorasi cabaran baru yang akan memperkaya pengetahuan serta membantu saya dalam mencapai keseimbangan yang lebih baik dalam kehidupan.

Saya amat menghargai peluang yang diberikan oleh syarikat untuk berkembang dan saya yakin bahawa perpindahan ini akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak. Saya berharap syarikat dapat mempertimbangkan permohonan ini dengan positif dan membantu saya dalam proses transisi ini.

Terima kasih atas perhatian dan pertimbangan Tuan/Puan terhadap permohonan ini. Saya bersedia untuk berbincang lebih lanjut mengenai hal ini dan berharap dapat mendengar jawapan daripada pihak syarikat tidak lama lagi.

Yang benar,

(Tandatangan Anda)

(Nama Penuh Anda)

Ringkasan

Fikirkan sebab anda ingin menukar tempat kerja dan pastikan susun rancangan anda. Pastikan untuk menyemak jawatan yang dibuka di tempat kerja yang anda memohon untuk ditukarkan kepada.

Anda bertanggungjawab untuk memastikan tiada sebarang perselisihan faham sebelum bertukar ke tempat kerja yang lain. Sebagai kakitangan yang beretika, anda harus memastikan majikan anda tidak menganggap keputusan untuk bertukar ke tempat pekerjaan lain adalah berdasarkan sebarang dendam.

Sebagai kakitangan yang beretika, anda tidak harus berpindah ke tempat kerja yang lain tanpa menyelesaikan segala tugasan anda. Dengan berbuat demikian, anda hanya akan meninggalkan beban anda kepada kakitangan yang lain dan mencemarkan nama anda di syarikat tersebut.

Soalan lazim

  1. Bagaimanakah cara terbaik untuk berkomunikasi dengan HR atau pengurus tentang permohonan pertukaran?
    ⁠Cara terbaik untuk berkomunikasi dengan HR atau pengurus tentang permohonan pertukaran ialah melalui e-mel rasmi atau pertemuan peribadi. Pastikan untuk menyampaikan permohonan anda secara profesional, jelas, dan terperinci. Nyatakan alasan anda ingin bertukar tempat kerja dan bagaimana pertukaran ini dapat memberi manfaat kepada anda dan syarikat.
  2. Apakah kesan pertukaran tempat kerja terhadap manfaat pekerja seperti insurans dan elaun?
    ⁠Pertukaran tempat kerja boleh memberi kesan terhadap manfaat pekerja seperti insurans dan elaun. Perubahan lokasi atau jabatan mungkin memerlukan penyesuaian kepada pakej manfaat anda bergantung pada polisi syarikat dan peraturan tempatan. Sebaiknya, periksa dengan bahagian HR untuk memahami bagaimana pertukaran anda akan mempengaruhi aspek-aspek ini.
  3. Bagaimanakah saya boleh menyesuaikan diri dengan cepat di cawangan atau jabatan baru selepas pertukaran diluluskan?
    ⁠Untuk menyesuaikan diri dengan cepat di cawangan atau jabatan baru setelah pertukaran diluluskan, anda boleh memulakan dengan membangun komunikasi yang baik dengan rakan sekerja dan pengurus baru anda. Cubalah untuk memahami budaya kerja dan prosedur operasi di lokasi baru. Selain itu, bersikap terbuka dan proaktif dalam mengambil bahagian dalam aktiviti pasukan atau sesi orientasi boleh membantu anda berintegrasi dengan lebih cepat.
  4. Adakah saya perlu menghadiri temu duga atau sesi penilaian sebelum pertukaran tempat kerja diluluskan?
    ⁠Tidak semua syarikat memerlukan anda menghadiri temu duga atau sesi penilaian sebelum pertukaran tempat kerja diluluskan. Namun, beberapa buah syarikat mungkin memerlukan ini terutama jika pertukaran melibatkan perubahan peranan atau tanggungjawab yang signifikan. Adalah terbaik untuk memeriksa dengan HR atau pengurus anda untuk mengetahui sebarang keperluan khusus sebelum pertukaran dapat dilaksanakan.

 

More from this category: Job loss

Top search terms

Want to know what people are searching for on Jobstreet? Explore our top search terms to stay across industry trends.

Subscribe to Career Advice

Get expert career advice delivered to your inbox.
You can cancel emails at any time. By clicking ‘subscribe’ you agree to Jobstreet’s Privacy Statement.