3 Cara Memberi Ucapan Perpisahan Kerja Kepada Rakan Kerja

3 Cara Memberi Ucapan Perpisahan Kerja Kepada Rakan Kerja
Jobstreet content teamupdated on 05 October, 2021
Share

Sama ada anda yang akan meninggalkan tempat kerja ataupun rakan sepejabat, ucapan perpisahan adalah penting untuk menjamin penutup yang harmoni dalam bab kehidupan pekerjaan ini.

3 Cara Berbeza Untuk Mengucapkan Kata-Kata Perpisahan

Jika anda bingung atau tak pasti cara yang sesuai untuk memberi ucapan perpisahan apabila berhenti kerja kepada rakan sepejabat, bos atau klien, rujuklah tips dan garis panduan di bawah.

Kad Ucapan

Pemberian ucapan perpisahan melalui kad ucapan adalah salah satu cara yang paling biasa dan mudah untuk dilaksanakan apabila seseorang itu akan berhenti kerja. Cara ini mengelakkan ucapan bersemuka yang kekok melalui beberapa kata atau lukisan kartun pada kad tersebut.

Jika rakan sepejabat anda yang akan berhenti kerja, anda boleh beli satu kad yang boleh diisi oleh rakan-rakan kerja yang lain. Jadi, kad tersebut akan merangkumi coretan daripada semua orang dalam sektor pekerjaan tersebut.

Jika anda yang akan berhenti kerja, anda bolehlah beri kad secara individu untuk mengatakan beberapa ayat kepada semua rakan kerja anda. Melalui kad ucapan ini, anda juga boleh meluahkan lebih mendalam ucapan perpisahan kerja kepada rakan sepejabat yang lebih rapat. Anda juga boleh menulis kepada bos anda yang telah memberi banyak tunjuk ajar sebagai tanda penghargaan.

Email Perpisahan

Selain kad ucapan peribadi, anda juga boleh mengirimkan kata-kata perpisahan kerja secara peribadi melalui email. Pilihan ini adalah sesuai untuk anda yang mungkin tidak ada masa untuk membeli kad ucapan oleh sebab notis berhenti kerja yang pendek.

Pengiriman ucapan perpisahan melalui email juga membolehkan anda mengirim ucapan yang sama sekaligus kepada semua rakan sepejabat anda. Ini adalah kerana kemudahan email membenarkan jumlah penerima yang banyak.

Apabila menulis email sekaligus untuk semua rakan kerja anda sebelum hari terakhir bekerja, pastikan isi kandungannya ringkas dan positif. Pastikan juga anda memberi maklumat perhubungan peribadi supaya rakan kerja boleh terus berhubung dengan anda.

Contoh email ucapan perpisahan kepada rakan pejabat:

Kepada rakan-rakan kerja (Nama Syarikat),

Seperti yang anda mungkin telah dengar, saya akan meninggalkan jawatan saya sebagai (Nama Jawatan) dalam syarikat ini. Hari terakhir saya ialah (Tarikh Hari Terakhir).

Saya sangat bersyukur dapat bekerja dengan anda semua dan segala tunjuk ajar adalah sangat dihargai. Pengalaman pahit manis di sini bersama anda semua juga tidak akan dilupakan.

Walaupun saya tak akan berada dalam pejabat ini, saya berharap kami terus berhubung dan menjaga silaturahim di masa yang akan datang. Anda boleh menghubungi saya di (Alamat Emel Peribadi).

Terima kasih semua dan semoga berjaya!

Sekian,

(Nama Anda)

Jika anda seorang pekerja yang sering berhubung dengan klien, ia adalah satu tanda hormat untuk memberitahu bahawa anda tidak akan lagi berkhidmat bersama mereka dalam masa yang akan datang. Ucapan perpisahan kepada klien ini bolehlah dilaksanakan melalui email dengan ringkas dan mudah.

Contoh email ucapan perpisahan kepada klien:

Selamat sejahtera Encik/Puan (Nama Klien),

Saya ingin mengumumkan bahawa saya akan meninggalkan jawatan saya sebagai (Nama Jawatan) di syarikat (Nama Syarikat). Hari terakhir saya adalah (Tarikh Akhir Kerja).

Dengan itu, saya tidak lagi akan berhubung dengan tuan/puan mengenai projek (Nama Projek) selepas tarikh tersebut. Saya sangat menghargai waktu bekerja bersama dan saya ingin memohon maaf jika ada salah silap.

Rakan kerja saya (Nama Rakan Kerja) akan mengambil alih tanggungjawab saya bersama tuan/puan. Beliau akan menghantar email dalam masa terdekat melalui alamat ini: (Alamat Email Rakan Kerja).

Terima kasih dan semoga berjaya!

Sekian,

(Nama Anda)

Jamuan Perpisahan

Aktiviti perpisahan yang paling biasa dilaksanakan adalah jamuan perpisahan. Ini adalah cara bernas untuk mengumpulkan semua rakan sepejabat anda ketika waktu makan tengah hari. Ketika ini, anda bolehlah mengirim ucapan perpisahan kerja sama ada secara lisan ataupun dengan pemberian kad ucapan.

Tinggalkan Impak Positif

Apa-apa pun cara yang anda pilih untuk menyampaikan kata-kata ucapan perpisahan anda, pastikan anda jujur dan berterus-terang dalam karangan anda. Ingatlah bahawa tujuan ucapan perpisahan ini adalah untuk menjamin hubungan baik dengan rakan kerja. Apabila meninggalkan tempat kerja untuk peluang hidup baru, pastikan anda meninggalkan impak positif dalam syarikat tersebut.

Setelah selesai ucapan perpisahan dan tamatnya kontrak bersama syarikat anda, sekarang anda boleh mengemaskini profil JobStreet untuk merekodkan tarikh terakhir kerja anda dan mengisi tarikh mula kerja baru. Anda juga boleh mencari kerja baru di pangklan data kami jika anda memilih untuk berehat seketika. Semoga berjaya dalam bab kehidupan baru anda!

More from this category: Job loss

Top search terms

Want to know what people are searching for on Jobstreet? Explore our top search terms to stay across industry trends.

Subscribe to Career Advice

Get expert career advice delivered to your inbox.
You can cancel emails at any time. By clicking ‘subscribe’ you agree to Jobstreet’s Privacy Statement.